Skip to main content
Topic: Memuliakan OKU Rahsia Kejayaan Islam (Read 2298 times)
0 Members and 1 Guest are viewing this topic.

Memuliakan OKU Rahsia Kejayaan Islam

Allahu Allah. Berita Sinar Harian mengenai penganiayaan kepada OKU sebegitu rupa sangatlah menyayat hati. Dulu satu kes dan ini satu kes lagi. Kejahilan nampaknya semakin berleluasa dan menguasai umat Islam sehingga tergamak melakukan perkara zalim seperti ini.

Baru semalam saya berkesempatan berbual2 dengan bekas orang kuat di Petronas dan anak bongsunya yang baru menamatkan tesis pengajiannya mengenai kelemahan ilmu, kekurangan kesedaran dan ketidak fahaman orang ramai terutama orang Islam mengenai kepentingan OKU dalam mencapai kejayaan atau kecemerlangan dalam hidup.

Dalam perbincangan 'kopi' tika minum petang itu, saya sempat juga mengulas surah 'abasa dalam konteks kewajipan endah dan peduli kepada OKU sebagai salah satu asas utama bagi meraih dan mencapai kejayaan dalam apa2 juga bentuk perjuangan.

Baik kejayaan pelajaran, dakwah, kerjaya sehinggakan kepada perniagaan, kita sememangnya perlu merujuk kepada Al-Quran dan sirah Nabi Muhammad SAW mengenai syarat2nya kerana Al-Quran adalah GPS kita manakala hadith2 pula adalah manual penggunaannya.

Ketika Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, Baginda lantas menjemput dan mengumpulkan sekelian pembesar dan hartawan Arab terutama Quraisy dalam rapat umum terbesar dan julung2 kalinya, bertempat di kaki bukit sofa.

Bagaimanapun, diskusi Baginda SAW dalam membina keyakinan dan meraih sokongan para pembesar dan hartawan Mekah, semasa rapat umum itu, telah terganggu oleh seorang OKU penglihatan bernama Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang telah datang menyatakan sokongannya dengan meminta Baginda SAW mengajarkannya dengan Islam.

Setelah mendengar permintaannya, Rasulullah SAW telah bermasam muka kerana merasa sangat terganggu dan berpaling daripadanya bagi meneruskan usaha dakwahnya kepada para pemuka Quraisy yang hadir dalam rapat umum itu.

Hakikatnya, Allah SWT mahu menyedarkan Nabi Muhammad SAW dan mengajarkan kepadanya bahawa Islam ialah agama yang sangat menitik beratkan dan menjaga keperluan dan kebajikan golongan bawahan, lemah dan kurang upaya pada setiap masa dan ketika.

Bahkan menyantuni golongan bawahan, lemah dan kurang upaya adalah sebab keberkatan, rahmat dan pertolongan Allah SWT kepada apa2 juga bentuk perjuangan baik daripada segi agama, politik mahupun perniagaan.

Dengan itu Allah SWT menurunkan nasihat dan teguran buat Rasulullah SAW yang perlu diimani dan dijadikan panduan seluruh umat Islam seperti yang tercatat dalam surah 'abasa ayat 1-16.

Mafhumnya: "Nabi Muhammad SAW telah bermuka masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali si buta itu ingin membersihkan dirinya (dari dosa dan noda). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup (yakni para pembesar dan hartawan Mekah). (Sibuk pula) kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia (para pemuka Quraisy itu) tidak membersihkan diri (yakni mereka belum tentu mahu beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang ia takut kepada (Allah). Maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan. Maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah dia akan memperhatikannya (mengkaji). Di dalam kitab-kitab yang dimuliakan. Yang ditinggikan lagi disucikan. Di tangan para penulis (malaikat). Yang mulia lagi berbakti." (‘Abasa: 1-16)

Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menukilkan perkataan Imam as-Thauri yang berkata: "Adalah Nabi Muhammad SAW selepas berlakunya peristiwa ini, apabila Baginda SAW melihat Ibnu Ummi Maktum, Baginda SAW akan segera membentangkan kain selendang baginda untuk beliau (duduk), seraya berkata: 'Selamat datang kepada insan mulia yang Tuhanku menegurku kerananya.' Seterusnya baginda akan bertanya (menyemak keperluannya): 'Apakah tuan ada sesuatu keperluan?' "

Dengan Nabi Muhammad SAW berubah tidak lagi memandang rendah atau mengenepikan golongan OKU bahkan mengutamakan dan menjaga keperluan dan kebajikan mereka, perjuangan Islam semakin diberkati, dirahmati dan senantisa beroleh pertolongan dan bantuan Allah SWT sehingga beroleh kemenangan daripada semasa ke semasa.

Baginda SAW juga pernah melantik Ibnu Ummi Maktum RA sebanyak dua kali sebagai pemangku baginda mengimami solat umat Islam Madinah ketika ketiadaan baginda kerana menyertai peperangan.

Perbetulkan kembali persepsi dan pendirian diri kita mengenai golongan OKU sebagaimana Nabi Muhammad SAW menerima didikan Allah SWT dan mengubah persepsi dan pendirian Baginda SAW mengenai golongan OKU ini.

Tolonglah. Janganlah diabaikan apatah lagi dianiayai golongan OKU dan keluarga mereka yang lemah lagi memerlukan ini. Bantulah mereka daripada semua bantuan yang termampu dan terdaya.

Muliakanlah dan didiklah golongan OKU ini sebagaimana Allah SWT dan RasulNya telah memuliakan dan mendidik mereka sehingga mereka mampu menjadi berdikari dan menjadi pembantu, pendokong dan pemimpin agama.

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.

Allahu a'lam.